Ahlan Wasahlan السلام عليكم

ASSALAMUALAIKUM ... SELAMAT BERKUNJUNG KE BLOG SURAU AL-IKHLAS SMK SULTAN OMAR ... SILA MENDAFTAR SEBAGAI AHLI ... TERIMA KASIH ...

SALAM AIDILFITRI - BERSALAM-SALAMAN - POHON KEMAAFAN

banner

Ahad, 31 Julai 2016

SIMULASI HAJI DAN UMRAH UNTUK PELAJAR TINGKATAN LIMA



PELAJAR Tingkatan Lima yang beragama Islam diberikan pengalaman mengerjakan haji dan umrah melalui Program Simulasi Haji dan Umrah yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam SMK Sultan Omar.

Program ini dijalankan di sekitar Surau Al-Ikhlas sekolah ini yang menempatkan replika kaabah, tempat melontar jamrah, dan ruang sa'i, sambil berpakaian ihram.

Program dijalankan selama dua hari berturut-turut mulai hari ini hingga esok untuk memastikan semua pelajar Islam di Tingkatan Lima dapat mengikuti program ini.

Topik mengenai haji dan umrah terdapat dalam Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam Tingkatan Lima yang selalu diuji dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Simulasi dibimbing oleh Imam Surau Al-Ikhlas yang juga Guru Pendidikan Islam sekolah ini, Tuan Haji Ghazali bin Abdullah.

Khamis, 30 Jun 2016

KHATAM AL-QURAN DAN PENYAMPAIAN SUMBANGAN AIDILFITRI



PROGRAM Ihya Ramadan berakhir hari ini dengan penganjuran Majlis Khatam al-Quran dan Penyampaian Hadiah Pertandingan serta Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri.

Program yang diikuti oleh semua pelajar Islam SMKSO yang hadir pada hari terakhir persekolahan menjelang Hari Raya Aidilfitri itu disempurnakan oleh Pengetua, Encik Wan Su bin Wan Jaffar. Turut hadir ialah Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Ruslan bin Ismail.

Tiga puluh orang pelajar lelaki dan perempuan menghabiskan bacaan 30 juz al-Quran yang bermula semenjak awal Ramadan. Selain itu, diadakan pertandingan azan, bacaan khutbah, hafazan, dan kain rentang sambutan Ramadan.

Majlis khatam al-Quran diketuai oleh Tuan Haji Ghazali bin Abdullah.

Seramai 144 orang pelajar yatim dan miskin dari semua tingkatan menerima wang hari raya yang disumbangkan oleh guru dan kakitangan SMKSO. 

Pengetua SMKSO berharap agar pelajar yang menerima sumbangan dapat menggunakannya untuk keperluan yang paling mustahak, seperti membeli pakaian hari raya dan peralatan sekolah.

Rabu, 29 Jun 2016

SEJAM BERSAMA DENGAN AL-QURAN


SURAU Al-Ikhlas SMKSO mengadakan program Satu Jam Bersama dengan al-Quran hari ini, serentak dengan sekolah-sekolah lain seperti yang diarahkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Program yang bermula pukul 12:00 tengah hari itu melibatkan pelajar lelaki dan perempuan daripada kalangan pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 6. Pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan tertentu untuk menamatkan bacaan dalam masa satu jam tersebut. 

Program berakhir dengan sembahyang Zuhur berjemaah yang diimamkan oleh Guru Pendidikan Islam, Tuan Haji Ghazali bin Abdullah.


Khamis, 26 Mei 2016

PELANCARAN IHYA RAMADAN 1437 HIJRIAH


PANITIA Pendidikan Islam dan Surau Al-Ikhlas DESSO mengadakan majlis Pelancaran Program Ihya Ramadan bersempena dengan kehadiran bulan Ramadan bagi tahun 1437 Hijriah mulai 6 Jun 2016 nanti.

Majlis pelancaran diadakan selepas aktiviti mingguan, bacaan Surah Yasin dan solat hajat. Majlis disempurnakan oleh Encik Wan Su bin Wan Jaffar, Pengetua SMKSO di Surau Al-Ikhlas.

Program yang akan dilaksanakan antaranya ialah Tadarus al-Quran, Mimbar Ramadan, Bingkisan Ramadan, Ceramah Nuzul al-Quran, Majlis Khatam al-Quran dan Tahlil Perdana, Santapan Kalbu, dan pelbagai pertandingan kuiz, doa harian, selawat, azan, dan khutbah.

Pelancaran dilakukan lebih awal kerana Ramadan bermula semasa pelajar bercuti pertengahan tahun selama dua minggu.

Isnin, 13 Julai 2015

KHATAM AL-QURAN, PENYAMPAIAN HADIAH DAN PENYERAHAN SUMBANGAN HARI RAYA


SURAU Al-Ikhlas DESSO berkerjasama dengan Panitia Pendidikan Islam SMK Sultan Omar mengadakan Majlis Khatam al-Quran, penyampaian hadiah aktiviti pertandingan Ihya Ramadan, dan penyerahan sumbangan hari raya kepada pelajar miskin dan yatim di Surau Al-Ikhlas pagi ini.


Isnin, 26 Januari 2015

SURAU AL-IKHLAS KETIGA PERINGKAT KEBANGSAAN


TEKA-TEKI tentang kedudukan Surau Al-Ikhlas dalam Pertandingan Anugerah Surau Imarah Kategori Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2014 terjawab hari ini apabila diiystiharkan memenangi hadiah ketiga.

Ahad, 18 Januari 2015

SURAU AL-IKHLAS DALAM TIGA TERBAIK


SURAU Al-Ikhlas DESSO telah tersenarai dalam tiga buah surau sekolah terbaik dalam penghakiman Anugerah Surau Imarah Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2014 apabila surau ini dinilai untuk kali kedua pada hari ini.


Isnin, 12 Januari 2015

CERAMAH MAULIDUR RASUL


BERSEMPENA dengan bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW dan berkebetulan dengan Program Pemantapan Insan Mulia Bestari yang bermula semalam hingga hari ini, Surau Al-Ikhlas pada hari ini bersamaan 12 Januari 2015 mengadakan progam Maulidur Rasul yang melibatkan pelajar Tingkatan 2.

Ahad, 11 Januari 2015

AKTIVITI PEMANTAPAN INSAN MULIA BESTARI (MINGGU ADAB)


AKTIVITI Surau Al-Ikhlas bermula sebaik-baik sahaja sesi persekolahan tahun 2015 bermula apabila pada hari ini Pengurusan Sekolah menganjurkan Program Pemantapan Isan Mulia Bestari, atau lebih dikenali sebagai Minggu Adab dengan pelaksanaannya dikendalikan oleh Surau Al-Ikhlas.

Sabtu, 3 Januari 2015

SELAMAT TAHUN BARU DAN SALAM MAULIDUR RASUL 1436H


Tema Sambutan Maulidur Rasul 2015/1436 H ialah "Perpaduan Nadi Transformasi Negara". Tanggal 12 Rabiulawal setiap tahun merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah umat islam di seluruh dunia. Kedatangan Nabi Muhammad SAW merupakan satu rahmat terbesar dan anugerah teragung yang berikan Allah kepada alam semesta ini. Manusia pada saat itu berada dalam kekufuran, kegelapan syirik, dan tidak mengenal pencipta mereka. Pada masa tersebut, penyembahan terhadap berhala-berhala merupakan satu penghormatan, penzinaan menjadi kebanggaan, mabuk dan berjudi berleluasa, manakala merompak serta membunuh suatu keberanian.

Selasa, 28 Oktober 2014

CERAMAH SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1436H


Bersempena dengan sambutan Maal Hijrah 1436 peringkat sekolah,Unit surau Al-Ikhlas dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam telah mengadakan  satu ceramah khas di tapak perhimpunan SMK Sultan Omar pada hari ini, Selasa, 28 Oktober 2014 yang dihadiri oleh pelajar dan guru beragama Islam.

Khamis, 9 Oktober 2014

SOLAT HAJAT PERDANA


SURAU Al-Ikhlas meneruskan tradisinya menjadi tempat berkumpul ibu bapa dan pelajar beragama Islam untuk melaksanakan Solat Hajat Perdana bersempena dengan peperiksaan awam yang akan berlangsung dalam masa terdekat.

Rabu, 1 Oktober 2014

SURAU IKHLAS PUN DINILAI...



BUAT kali kedua berturut-turut tahun, Surau Al-Ikhlas didatangi Panel Penilai Anugerah Surau Imarah Peringkat Kebangsaan setelah sekali lagi dipilih mewakili Terengganu bagi Kategori Sekolah Menengah. Penilaian berlangsung mulai 12:30 tengah hari.